Untuk pengetahuan, ini adalah kali kedua tajuk ini di post. Post kali ini telah diedit segala isi kandungannya dan ditambah baikkan lagi. Inilah artikel pertama penulis yang ditulis berdasarkan idea yang Allah ilhamkan dan pengalaman yang pernah dialami. Samada pengalaman sendiri atau orang lain. Artikel ini telah berjaya memenangi tempat kedua dalam pertandingan menulis artikel dakwah Program Hari Apreasiasi Bakat 2012 anjuran PMFPI UKM. Semoga ia menjadi manfaat kepada semua pembaca dan memberi semangat lagi dalam usaha ke arah menjadikan bidang penulisan sebagai salah satu cabang terpenting dakwah. Terima kasih juga kepada mereka yang turut memberikan bantuan dan kritikan membina :)
Tarbiah Sekolah VS Universiti
" Aku rindukan tarbiah zaman sekolah
dulu, kalaulah boleh kembali semula kan bagus".
‘’ Di Universiti kurang tarbiah berbanding di
sekolah’’
Benarkah sebegitu?? Universiti dilihat kurang dari aspek tarbiah
berbanding dengan sekolah. Melangkah ke alam universiti adalah impian pelajar
di zaman persekolahan. Memang, wujud perbezaan antara sekolah dan universiti.
Kerana seiring perkembangan usia, cabaran yang lalui pasti meningkat. Jauh
perjalanan luas pemandangan dan pengalaman. Universiti adalah dunia baru yang
semestinya lebih mencabar, meluaskan paradigma seseorang.
Universiti adalah tempat wujudnya pelbagai cabaran bagi seseorang
yang bergelar mahasiswa. Di sini, tiada peraturan ketat sebagaimana di sekolah.
Kita mempunyai lebih kebebasan dalam menentukan kehidupan di sini. Kerana itu,
kebebasan yang diperoleh di Universiti perlu dicorak dengan sebaiknya agar kita
tidak musnah tanpa kawalan. Kita boleh terKANDAS. Jatuh di lembah kesesatan
yang sangat jauh, kita juga boleh tingkatkan KUALITI IMAN. Pilihan di tangan.
Seandainya kita menggunakan akal dan hati, pasti ia dapat mewujudkan kualiti
iman yang baik.
Siapa kata Universiti tidak mentarbiah? Siapa
kata di Universiti tiada atau kurang tarbiah?? Hakikatnya, kita boleh dapat
lebih dari itu. Universiti adalah tempat praktis teori tarbiah yang dipelajari
sebelum ini di zaman persekolahan. Ia lebih mencabar. Beruntunglah sesiapa yang
dapat menghadapinya dengan penuh keimanan. Perlu diketahui, bahawa Allah SWT
sebenarnya amat menyayangi hamba-Nya yang mengamalkan Islam di saat ramai
manusia sedang mengamalkan kehidupan jahiliah
yang berpaksikan keseronokan dunia semata-mata.
Manusia zaman sekarang ramai ROSAK?? Ya.
Inilah realiti. Apatah lagi tempias ini juga terkena di IPTA/S. Satu tempat
yang penuh dengan Ilmu. Satu tempat bagi melahirkan golongan yang intelektual.
Namun tempias jahiliah masih terkena dan paling mengejutkan, ada yang
terpengaruh sedangkan mereka dahulunya di zaman sekolah amat mementingkan nilai-nilai
Islam bahkan bergerak membawa misi Dakwah Islamiah, menyuburkan iman di
hati insan sekeliling. Mereka itu juga seorang daie.
Kerana apa mereka di sekolah dapat mengamalkan
ciri Islam dengan baik? Kerana di zaman sekolahnya wujud biah solehah yang
kukuh di kalangan mereka. Persoalannya mengapa kita ini di saat manusia ramai
berbuat baik, kita ingin berbuat baik. Namun di saat ramai berbuat jahat, kita
juga ingin berbuat jahat. Mengapa tidak diteruskan dengan kebaikan? Istiqamah
dalam menegakkan agama Allah walaupun perlu mengharungi pelbagai mehnah dan
tribulasi yang menggugat kekuatan iman di hati. Iman itu pembuktian yang mesti diterjemahkan
melalui amal.
Muhasabah diri, ke ruangan yang paling
mendalam. Apa sebenarnya masalah dan musibah yang menimpa iman kita saat teruji
di medan pentarbiahan baru ini? Kita mudah TERIKUT-IKUT.
Itulah sebenarnya masalah kita.
Sikap ini akan memberi masalah bagi seorang Daie. Teringat di minda penulis, satu program yang pernah disertai iaitu Kembara
Rabbani Siswa. Seorang pemidato dalam program itu berkata Pendakwah (Daie)
perlu tetap pendirian. Walau bagaimana jahil sekalipun masyarakat, walau
bagaimana pun penerimaan masyarakat pada Islam, pendakwah (Daie) perlu
berprinsip. Jangan mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan kehidupan jahil. Jika
benar, katakan benar. Jika salah katakan salah. Pendakwah ( daie)
perlu BERANI menyampaikan kebenaran Islam”.
Oleh itu, tidak perlu layan sangat perasaan
ingin kembali ke zaman persekolahan kerana rindukan tarbiah di sana.
Hakikatnya, kita bukan kehilangan tarbiah tapi kita kehilangan skill untuk
menerima kepelbagaian bentuk tarbiah. Jangan terlalu bersedih. Ia hanya
membuang masa seandainya kita terus melayan perasaan itu tanpa bertindak
apa-apa. Jadikan teori tarbiah yang dipelajari dan dipupuk di sekolah itu satu sumber
ilmu untuk kita praktikkannya di Universiti. Jangan hilangkannya. Teruskan
menjadi mukmin dan mukminah yang mengamalkan ciri-ciri tersebut. Ayuh, bina
biah solehah di mana jua berada. Tampil berbeza dengan keindahan Islam,
menyuburkan hati insan-insan di sekeliling dengan cinta kepada Allah dan
Rasulullah s.a.w.